Badar al-Kubra
Media Multimedia DBP » Siri Perjuangan Rasul
Penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. ke kota Yathrib yang kini dikenali sebagai kota Madinah merupakan satu peristiwa besar yang menjadi sejarah bagi umat Islam. 12 Rabiul Awal bersamaan 1 Hijrah sememangnya tarikh yang tidak mungkin dilupakan. Pada waktu itu jugalah masjid pertama umat Islam telah dibina iaitu masjid Quba’ yang menjadikan Baitul Maqdis sebagai kiblat pertama. Bermula saat itu, umat islam semakin bertambah dari hari ke hari, menyebabkan ada pihak yang iri hati terhadap Rasulullah. Pembesar-pembesar Mekah yang sememangnya memusuhi Rasulullah telah merancang untuk melancarkan perang apabila ramai pemimpin Yahudi di Madinah yang memeluk Islam. Tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah bermulalah saat yang menjadi sejarah hingga ke hari ini, apabila 313 tentera muslimin berdepan dengan 1000 tentera musyrikin dalam peperangan Badar. Berjayakah tentera muslimin menewaskan musuh yang berkali-kali ganda lebih banyak? Bagaimanakah Rasulullah mengatur strategi dalam peperangan kali ini?
Turut menonjolkan watak dan peranan beberapa sahabat Rasulullah S.A.W. seperti Hamzah, Ubaidah dan Ali yang banyak membantu Baginda dalam perjuangan tersebut. CD ini menampilkan gambar animasi yang cantik dan menarik, juga gaya penceritaan yang ringan dan mudah, sesuai untuk tontonan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah. Dipersembahkan dalam 6 episod bagi memudahkan adik-adik mengingati jalan cerita dan sejarah Badar al-Kubra ini. Selain penceritaan, CD ini turut memuatkan permainan, uji minda, informasi dan glosari yang berkaitan.

